Saturday, March 26, 2011

Kesan Pembelajaran Koperatif

Kesan Pembelajaran Koperatif
ke atas pelajar matrikulasi dalam matapelajaran matematik
Oleh : Effandi Zakaria & Abd Razak Habib
Jurnal Teknologi, 45(E) Dis, 2006:43-62
Universiti Teknologi Malaysia

Ulasan Artikal Jurnal oleh : Kasmawati Othman PPGB UPSI


1.0              Pengenalan
Pengajaran merupakan aktiviti yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan yang meliputi aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan penilaian. Manakala pembelajaran adalah aktiviti individu yang boleh memberi perubahan pencapaian kesan daripada aktiviti pengajaran. Pembelajaran koperatif adalah salah satu bentuk pembelajaran yang berdasarkan konstruktivisme. Pembelajaran koperatif merupakan strategi pembelajaran yang melibatkan pelajar secara aktif dalam kumpulan kecil dengan tahap kemampuan yang berbeza. Kumpulan tersebut harus bekerja sama dan saling memahami tajuk pelajaran yang diajar. Pembelajaran koperatif dikatakan tidak lengkap jika salah seorang ahli kumpulan belum menguasai sesuatu tajuk yang diajar.

2.0       Tujuan kajian
Kajian ini bertujuan untuk menentukan keberkesanan pembelajaran koperatif ke atas kemahiran menyelesaikan masalah, kesedaran metakognitif, pencapaian matematik, sikap terhadap matematik dan sikap terhadap penyelesaian masalah pelajar-pelajar matrikulasi.

3.0         Prosedur kajian
Pengkaji menggunakan dua kumpulan iaitu kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Kumpulan rawatan adalah kumpulan pelajar matrikulasi yang belajar menggunakan kaedah pembelajaran koperatif manakala kumpulan kawalan adalah kumpulan yang menggunakan kaedah pembelajaran tradisional. Setiap kumpulan diberikan ujian pra dan selepas 17 minggu, kedua-dua kumpulan ini diberikan ujian pos.



4.0  Dapatan Kajian
Selepas 17 minggu didapati pelajar matrikulasi dalam kumpulan koperatif mengatasi kumpulan tradisional dalam markah ujian pos. Ini menunjukkan kaedah pembelajaran koperatif memberi kesan yang bermakna kepada pencapaian matematik dan penyelesaian masalah. Tetapi menunjukkan perbezaan yang kecil bagi kesedaran metakognitif, sikap terhadap matematik dan sikap terhadap penyelesaian masalah. Ini bermakna pembelajaran koperatif dan pembelajaran tradisional memberi kesan yang sama terhadap sikap dan kesedaran pelajar terhadap matematik.

5.0  Pendapat yang menyokong dapatan kajian

Mengikut Ewell (1997) ’’the learner is not 'receptable’ of knowledge, but rather creates his or her learning actively and uniquely’’ Dalam hal ini pelajar perlu membina pengetahuan dengan melibatkan diri secara aktif dalam pengajaran guru kerana pengetahuan tidak disampaikan secara langsung kepada mereka. Bruner (1961) telah mencadangkan pelajar melibatkan diri secara aktif dengan bahan pembelajaran supaya dapat kembali mengingat maklumat yang diperlukan.Mayer (2004) mencadangkan pelajar harus aktif secara kognitif. Pelajar yang terlibat dengan aktif dalam proses pembelajaran mampu menyelesaikan masalah, mengemukakan cadangan, memberikan pengertian baru kepada sesuatu topik,dan berkebolehan untuk menghubung kait apa yang telah dipelajari kepada konteks yang baru ( Ewell 1997).

Pengkaji mendapati pembelajaran koperatif memberi kesan positif kerana pelajar-pelajar boleh bersemuka dan berbincang serta bertukar maklumat, membantu rakan-rakan, berkongsi pandangan yang berbeza, mendapat maklumbalas segeri dan memberi galakan antara satu sama lain. Pembelajaran perlu merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Menurut Ewell (1997) maklum balas serta pembelajaran berkesan berlaku jika pelajar berada dalam persekitaran yang menyeronokkan, iaitu interaksi peribadi dan sokongan padu daripada guru secara peribadi. Persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan merangkumi konteks budaya dan interpersonal menyediakan banyak peluang interaksi sosial dan pembelajaran.
Kajian juga mendapati pembelajaran koperatif tidak memberi kesan kepada sikap pelajar terhadap Matematik kerana pelajar pada masa itu tertekan kerana akan menghadapi peperiksaan semester akhir mereka yang semakin hampir. Kemungkinan juga tempoh 17 minggu tidak mencukupi untuk mempengaruhi sikap pelajar terhadap mata pelajaran Matematik. Menurut Mariam (1997), perubahan sikap pelajar mengambil masa yang lama dan tahap perkembangan sikap adalah berbeza antara individu.
Kajian tersebut juga menunjukkan tiada perubahan sikap terhadap penyelesaian masalah kerana ia mempunyai hubungan yang rapat dengan sikap terhadap Matematik. Namun dapatan kajian ini bertentangan dengan dapatan kajian Mwerinde dan Ebert(1996) yang mengatakan pembelajaran koperatif memberi kesan kepada pelajar dari segi pelakuan seperti ketabahan dan kesanggupan dalam menyelesaikan masalah.

6.0   Kesimpulan.
Dapatan kajian memberi implikasi kepada pelajar bahawa pendekatan pembelajaran koperatif merupakan pendekatan yang sesuai bagi pelajar mengambil bahagian secara aktif di dalam pembelajaran mereka. Meskipun perubahan sikap terhadap Matematik tidak berkesan dalam kajian ini , tidak bermakna pembelajaran koperatif telah gagal. Pembelajaran koperatif bukan punca pelajar menjadi negatif dari segi sikap tetapi lebih banyak membantu menggalakkan pelajar belajar secara kumpulan sambil berusaha bekerja dalam kumpulan untuk menyelesaikan masalah Matematik.Walaubagaimanapun pembelajaran kaedah tradisional masih relevan untuk digunakan bagi menyampaikan maklumat dan konsep Matematik dalam masa yang tertentu.Meski terdapat halangan dan rintangan dalam pembelajaran koperatif (Effandi,2001), ia masih dilihat sebagai memberi kesan kepada hasil pencapaian dan kemahiran menyelesaikan masalah.

No comments:

Post a Comment